
Aset berpotensi ditransformasi menjadi ruang yang membuka peluang buat usahawan dan komuniti
KUALA LUMPUR, 8 September 2026 – Heritage Valley Kuala Lumpur, hab keusahawanan dan komuniti terbaru di bawah inisiatif Malaysian Entrepreneur Hub (MEH) oleh UDA Holdings Berhad (UDA), telah menjana jualan terkumpul melebihi RM4.6 juta serta memberi manfaat kepada lebih 500 usahawan dan vendor bagi tempoh Ogos 2025 hingga Ogos 2026.
UDA merupakan agensi di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Steven Sim Chee Keong berkata pencapaian tersebut menunjukkan bagaimana ruang bandar yang strategik boleh dimanfaatkan untuk membuka akses pasaran kepada usahawan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Cabaran bagi ramai usahawan mikro bukan hanya modal, tetapi juga akses kepada lokasi yang baik dan mempunyai aliran pengunjung. Di kawasan tengah bandar, kadar sewa selalunya di luar kemampuan perniagaan yang baru bermula.

“Melalui Heritage Valley, kita mahu menyediakan ruang niaga pada kadar yang lebih berpatutan, sambil membawa masuk program, acara dan aktiviti yang boleh menarik pelanggan kepada usahawan,” katanya ketika merasmikan Heritage Valley Kuala Lumpur hari ini.
Dibangunkan di atas tapak seluas 1.71 ekar di Jalan Doraisamy, hab keusahawanan ini mengaktifkan ruang bandar sebagai destinasi yang menyediakan peluang perniagaan kepada usahawan tempatan, di samping aktiviti komuniti dan gaya hidup urban.
Heritage Valley kini menempatkan 26 usahawan yang beroperasi secara tetap di kiosk dan lot kedai, dengan purata jualan di peringkat awal sekitar RM8,000 hingga RM10,000 sebulan bagi setiap vendor.

Manfaatnya turut diperluaskan kepada usahawan dan vendor yang menyertai pelbagai program, acara dan aktiviti jualan seperti Santai Maa, Secondlife Market, Slay Maa, Curators Lab dan Kuala Lumpur Bike Week. Aktiviti tersebut secara keseluruhan telah menarik lebih 100,000 pengunjung.
Bagi tahun 2026 dan seterusnya, Heritage Valley menyasarkan untuk memberi manfaat kepada lebih 700 usahawan dan vendor, termasuk melalui program, acara dan aktiviti komersial, selain usahawan yang beroperasi secara tetap di lokasi tersebut.
Projek ini melibatkan pelaburan keseluruhan RM9.7 juta, merangkumi RM6.4 juta kos pembangunan oleh UDA dan RM3.3 juta pelaburan oleh pengendali, Luxe Acre Sdn Bhd.
Selain 26 lot tetap sedia ada, sebanyak 14 unit pop-up store akan diperkenalkan, menjadikan keseluruhan 40 lot niaga, dengan sasaran jualan keseluruhan Heritage Valley melebihi RM6.5 juta setahun.
Dalam pada itu, YBhg. Dato’ Sri Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad berkata, “Kejayaan Heritage Valley Kuala Lumpur tidak diukur menerusi pembangunan fizikal mahupun kadar penghunian premis semata-mata, tetapi sejauh mana ruang ini mampu mencipta peluang baharu, menghubungkan masyarakat dan membimbing usahawan membina perniagaan yang mampan untuk jangka panjang.”
“Heritage Valley Kuala Lumpur juga bakal diperkembangkan menerusi perancangan pembukaan kiosk baharu bagi memperluas manfaat kepada lebih ramai usahawan. Perancangan ini akan menyediakan lebih banyak ruang niaga serta peluang pertumbuhan kepada usahawan tempatan,” katanya.
Setakat Ogos 2026, projek-projek MEH di seluruh negara telah memberi manfaat kepada 611 usahawan dan vendor, termasuk lebih 526 di Heritage Valley, 20 di Santai Camp, Angsana Johor Bahru Mall dan 65 di Morten Walk, Melaka.
Secara keseluruhan, projek MEH telah mencatatkan anggaran jualan terkumpul melebihi RM7.75 juta, terdiri daripada lebih RM4.6 juta di Heritage Valley, RM2.3 juta di Santai Camp dan RM850,000 di Morten Walk.
Selain Heritage Valley, MEH turut dilaksanakan di Morten Walk, Melaka dan Santai Camp, Johor, manakala satu lagi hab di Kundasang, Sabah sedang dalam pembangunan.







