SELANGOR, 13 NOVEMBER 2025 – Istana Budaya meneruskan kecemerlangan seni muzik klasikal barat dengan membawakan National Symphony Orchestra (NSO) Lambang Sari Series – “Orchestra Tales: An Adventure Through Sound and Story” ke Panggung Percubaan Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan dua sesi persembahan iaitu sesi matinee pada jam 5.00 petang dan sesi malam pada jam 8.30 malam.
Kerjasama strategik antara Istana Budaya dan Universiti Putra Malaysia (UPM) ini bertujuan memperkenalkan keindahan muzik klasik barat kepada para pelajar universiti. Ruang dan peluang yang diberikan oleh pihak UPM dimanfaatkan sepenuhnya dengan menghadirkan sebuah persembahan bertaraf dunia, di samping memberi peluang kepada 20 orang pelajar UPM untuk turut serta dalam produksi LSS di belakang tabir.
Persembahan yang berdurasi satu (1) jam ini menghimpunkan seramai 63 orang pemuzik berpengalaman di bawah pimpinan Konduktor Encik Eric Lee yang terkenal dengan keupayaannya menggabungkan disiplin klasik dengan ekspresi moden dalam sebuah persembahan yang dinamik dan bertenaga.
Antara karya yang dipersembahkan adalah termasuk:
- Flying Theme from E.T. (The Extra-Terrestrial) – John Williams
- Danzón No. 2 – Arturo Márquez
- Peter and The Wolf (A Musical Tale for Children) Op. 67 – Serge Prokofiev
- How Far I’ll Go (Moana) – gubahan Yeo Chow Shern, nyanyian Tria Aziz
- Speechless (Aladdin) – gubahan Yeo Chow Shern, nyanyian Tria Aziz
- Hakikat Cinta – gubahan Isaac Chia, nyanyian Dayang Nurfaizah
- Umpan Jinak Di Air Tenang – gubahan Aubrey Suwito, nyanyian Dayang Nurfaizah
LSS kali ini turut menampilkan dua artis jemputan berbakat besar dan disegani dalam industri muzik tanah air iaitu Tria Aziz dan Dayang Nurfaizah yang turut memberikan sentuhan magis serta memperkayakan persembahan melalui vokal bertenaga dan penghayatan mendalam.
Tria Aziz yang membuat persembahan pada sesi matinee merupakan seorang guru vokal di Enfiniti Academy, akademi seni persembahan yang diiktiraf dengan pelbagai anugerah. Beliau juga merupakan penyanyi dan pelakon teater muzikal prolifik yang telah terlibat dalam lebih 20 produksi termasuk “DanSing Thru Broadway”, “Shout! The Mod Musical” dan “Aladdin: A Musical Comedy”. Antara pengiktirafan yang pernah diterimanya termasuk Persembahan Muzikal Terbaik (2014) oleh Boh Cameronian Arts Awards, Persembahan Muzikal Terbaik (Watak Pembantu) (2018), serta Vokal Terbaik dalam Muzik (2018).
Manakala Dayang Nurfaizah anak kelahiran Kuching, Sarawak, menghiasi pentas pada sesi malam dengan persembahan penuh jiwa dan keindahan vokalnya yang menjadi tanda aras dalam industri muzik tempatan. Dikenali dengan “suara emas” dan kemampuan luar biasa dalam menyampaikan lagu balada dan R&B, Dayang telah meraih pelbagai pengiktirafan di Anugerah Juara Lagu (AJL) dan Anugerah Planet Muzik (APM) menerusi lagu-lagu hits seperti “Lelaki Teragung”, “Di Pintu Syurga” dan “Haram”.
Selain membawa penonton yang hadir menyelami keajaiban dunia muzik melalui penceritaan dan alunan orkestra yang menggabungkan elemen sinematik, klasik dan popular yang penuh warna, imaginasi dan ekspresi. Melalui karya sinematik, kisah abadi dan lagu-lagu yang menyentuh jiwa, “Orchestra Tales: An Adventure Through Sound and Story” menampilkan orkestra sebagai pencerita utama yang menyampaikan makna bukan dengan kata-kata, tetapi dengan bahasa muzik sejagat yang merentasi generasi.
Untuk maklumat lebih lanjut, awam boleh melayari portal dan di setiap platfom media sosial Istana Budaya atau menghubungi Unit Perhubungan Awam, Istana Budaya di talian 03-4026 5555 / e-mel ke info@istanabudaya.gov.my








